Friday, October 2, 2009

Wahhabi adalah sesuatu yang tiada hakikatnya.

Wahhabi ialah sesuatu yang tiada hakikatnya. Isu ini telah lama didengari dan diperkatakan dari zaman ke zaman, namun ianya tetap akan berterusan selagi mana masyarakat tidak cuba memahaminya secara ilmiah. Sesungguhnya Islam dibina di atas manhaj ilmu iaitu al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w.

Oleh kerana itu para ulama’ salaf sering menyatakan ilmu itu ialah apa yang difirmankan Allah dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Ingin diingatkan di sini bahawa janganlah kita bercakap tentang sesuatu perkara yang kita tidak ada ilmu tentangnya.

Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 36:“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan dipertanggungjawabkan”.

Sekiranya kita bercakap di atas suatu perkara yang kita tidak mengetahuinya dikhuatiri akan terjebak ke dalam kancah fitnah pula. Tetapi fenomena ini berlaku di tengah-tengah masyarakat di mana mereka melabelkan sebahagaian mereka dengan wahabi atau kaum muda. Apabila ditanya kembali apakah itu wahabi, mereka membisu.

Ada yang menjawab wahabi itu tidak membaca qunut subuh, wahabi tidak membaca zikir lepas sembahyang beramai-ramai, wahabi tidak membuat kenduri arwah dan sebagainya. Inilah yang dikatakan bercakap tidak atas dasar ilmu. Diulangi sekali lagi bahawa kita akan dipersoalkan di hari akhirat kelak atas apa yang kita perkatakan.

Secara ringkas wahhabi adalah nama yang dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab, beliau dilahirkan pada tahun 1115 hijrah di Najd dan meninggal pada tahun 1206 hijrah. Perjuangan beliau ialah mengembalikan kesucian tauhid jauh dari syirik, khurafat. Beliau berjuang menegakkan sunnah dan menentang bid’ah dalam agama. Pergerakan Muhammad bin Abdul Wahab bukan satu mazhab yang baru.

Bahkan beliau sendiri bermazhab Hambali. Manhaj yang digunakan dalam berdakwah ialah manhaj Salafus Soleh iaitu manhaj yang dibawa oleh tiga kurun yang pertama dan terbaik sepertimana yang disabdakan nabi s.a.w. “Sebaik-baik manusia ialah kurunku (zaman nabi dan sahabat), kemudian kurun selepasnya (tabiin), kemudian selepasnya (tabi’ tabiin).Tetapi perjuangan dakwah tidak dihamparkan dengan permaidani merah, sebaliknya perjuangan dakwah akan dirintangi dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Begitulah yang dihadapi oleh Muhammad bin Abdul Wahab.

Musuh-musuh yang tidak berpuas hati dengannya lalu melabelkannya sebagai Wahhabi. Sepatutnya ianya lebih tepat dengan label Muhammadiyah kerana namanya Muhammad namun untuk mengelakkan masalah yang timbul sekiranya dilabelkan Muhammadiyah lalu dinisbahkan kepada ayahnya Abdul Wahab maka jadilah Wahhabi. Itulah hakikat sebenarnya nama Wahhabi yang tidak diketahui masyarakat kita.

Penulisan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab hanya sekitar permasalahan Tauhid seperti yang masyhur Kitab al-Tauhid.Di Malaysia nama Dr.Yusuf al-Qaradhawi sudah tidak asing lagi dikalangan masyarakat. Begitu juga dikalangan ustaz-ustaz yang memusuhi golongan yang dilabel sebagai wahabi ini.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh al-Awlawiyyat memuji Muhammad bin Abdul Wahab katanya: “Bagi al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab di Jazirah Arab perkara aqidah adalah menjadi keutamaanya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menaggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (hlm. 263, ctk. Maktabah Wahbah Mesir).

Satu lagi nama yang tidak asing bagi masyarakat kita ialah Dr. Wahbah al-Zuhaili yang memuji Muhammad bin Abdul Wahhab dengan berkata: “Sesuatu yang tidak syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya”. (surah Hud:85) bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah yang terbesar untuk islah (pembaikan) membina umat, jihad dan mengembalikan individu Muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab pada kurun yang ke 12 hijrah.

Tujuannya adalah untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan pelbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin Abdul Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikan (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan aqidah yang bersih.”

( Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, hlm 57-58). Adakah Dr.Yusuf al-Qaradhawi dan Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menjadi rujukan oleh mereka ini dilabelkan sebagai Wahhabi?Siapa tidak mengenali syeikh Muhammad Rashid Redha. Beliau antara orang yang mempertahankan dan mengeji mereka yang mengeji dan menfitnah Muhammad bin Abdul Wahab.

Antaranya ialah tulisannya dalam muqaddimah kitab ‘Siyanatul Insan ‘An Waswasatil Dahlan’ sebuah kitab yang menolak fitnah dan pembohongan Zaini Dahlan ke atas Muhammad bin Abdul Wahab yang dinamakan ‘Duraru al-thaniyah fi raddi ‘Ala al-Wahhabiah’ yang banyak tersebar di pondok-pondok di Malaysia. Antara isinya beliau menceritakan bagaimana beliau tertipu sejak kecil lagi dengan pembohongan dan fitnah yang terdapat di dalam kitab Zaini Dahlan.

Beliau menyedari semuanya itu hanyalah fitnah dan dusta selepas beliau berhijrah ke Mesir. Beliau telah mengkaji mengenai gerakan Muhammad bin Abdul Wahab. Beliau juga banyak membaca kitab-kitab, risalah-risalah, fatwa-fatwanya, anaknya, cucunya dan ulamak-ulamak Najd.

Dengan pengetahuan tentang hakikat dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab beliau membuat kesimpulan :

1- Tidak ada satu pun tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab melainkan dusta dan fitnah.

2- Zaini Dahlan dan musuh-musuh Syeikh Muhammad orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah, sama ada tidak mengetahui tentang hakikat dakwah Syeikh Muhammad ataupun sebab-sebab lainnya.(dipetik dari www.al-ahkam.net)

Begitulah seperti kata pepatah manusia akan memusuhi sesuatu perkara yang dia jahil terhadapnya. Suatu kisah yang masyhur seorang syeikh selalu berdoa keburukan dan laknat ke atas Muhammad Abdul Wahab, suatu hari anak muridnya meletakkan kitab yang ditulis oleh Muhammad bin Abdul Wahab yang telah dikoyak kulitnya supaya syeikhnya tidak mengetahui siapakah penulisnya.

Setelah membaca kitab tersebut anak muridnya tadi datang kepadanya lalu bertanya “Wahai syeikh bagaimanakan isi kandungan kitab itu” lalu syeikhnya menjawab kitab ini sangat bagus untuk dijadikan sebagai rujukan dalam aqidah.

Selepas itu anak muridnya mengeluarkan semula kulit buku tersebut dan menyatakan inilah kitab Muhammad bin Abdul Wahhab. Syeikh tersebut terkejut dan menangis kerana menyesal. Setelah itu setiap kali beliau berdoa beliau memohon keampunan dan berdoa kebaikan kepada Muhammad bin Abdul Wahhab.

Suatu perkara yang penting bahawa mereka yang dilabelkan sebagai Wahhabi ini hanya berdalilkan kepada al-Quran dan Sunnah serta membawa perkatan-perkataan para imam yang muktabar seperti para imam mazhab yang empat.

Tidak sepatah pun kedengaran nama Muhammad bin Abdul Wahhab apatah lagi perkataan-perkataan beliau. Sebagai contoh masalah berzikir secara sendirian dan senyap selepas setiap kali sembahyang, mereka membawakan kitab Imam Syafie sendiri iaitu al-Umm juga perkataan Imam al-Nawawi dalam syarah Muhazzab yang menyatakan zikir hendaklah secara senyap kecuali untuk mengajar bukannya pendapat Muhammad bin Abdul Wahhab.

Adakah Imam al-Syafie dan Imam al-Nawawi Wahhabi? Itulah akibatnya sekiranya jahil tentang permasalahan agama.Seperti yang dinyatakan sebelum ini penulisan-penulisan Muhammad bin Abdul Wahab hanya tertumpu kepada permasalahan aqidah.

Jadi apa yang diajarkan oleh sebahagian mereka yang dilabelkan sebagai Wahhabi tiada kena mengena dengan Muhammad bin Abdul Wahab namun masyarakat terutamanya golongan agama yang tidak menitik beratkan persoalan ilmu terus melabel dan menfitnah mereka dengan Wahhabi.Akhirnya kita mohon kepada Allah agar ditambahkan ilmu yang bermanfaat serta dihapuskan kejahilan dalam diri.

Permasalahan wahhabi tidak wajar ditimbulkan lagi dan seperti yang dinyatakan ianya sesuatu yang tidak pernah wujud secara hakikatnya sebaliknya ianya ajaran islam bukan Wahhabi. Wallahu a’lam.