Selawat Syifa’:
اَللَّهُمَّ صَلِ عَلىَ مُحَمَّدٍ طِبِّ القُلُوْبِّ وَدَوَاِئهَا، وَعَافِيَةِ اْلأَبْدَانِ وَشِفَاِئهَا، وَنُوْرِاْلأَبصَارِ وَضِيَاِئهَا، وَعَلىَ أَلِهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah selawat dan salam kepada Muhammad, yang memberi penawar dan pengubat hati (kalbu), yang memberi kesihatan dan penyembuhan badan, cahaya dan yang menerangkan pandangan mata. Juga ke atas keluarga beliau.”
Selawat ini banyak diamalkan oleh banyak tokoh-tokoh perubatan dan bomoh-bomoh tertentu di dalam negara kita (Malaysia) mahu pun di luar negara. Ia digunakan sebagai zikir atau bentuk doa untuk mengubati/merawat individu tertentu yang mengalami masalah kesihatan tertentu.
Ianya juga sangat popular malahan sehingga dinasyidkan dan dilagukan sebagai zikir-zikir harian. Malangnya, kebanyakan dari mereka (yang mengamalkannya) hanya tahu melafazkan dan melagukannya. Namun tidak mahu mengambil tahu berkenaan makna dan kesyirikan yang terkandung di dalamnya.
Lebih malang lagi, selawat tersebut tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam melalui mana-mana riwayat hadis, apatah lagi tidak juga diamalkan oleh sahabat-sabahat Rasulullah sendiri. Maka, ianya adalah tergolong di dalam bentuk selawat-selawat ciptaan dan rekaan manusia berdasarkan akal dan nafsu.
Jika kita perhatikan satu persatu rangkap perkataan di dalam selawat tersebut, terdapat penyandaran sifat yang tidak selayaknya kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam iaitu dengan sifat “yang memberi penawar”, “pengubat hati (kalbu)”, “yang memberi kesihatan”, “penyembuhan badan”, dan “yang menerangkan pandangan mata”. Padahal kita mengetahui bahawa yang mampu menyembuhkan dan memberi kesihatan badan, yang mampu mengubati hati, dan yang mampu menerangkan pandangan mata adalah hanya Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata. Berkenaan sifat yang dinisbahkan (atau disandarkan) kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam tersebut, beliau sendiri tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi untuk orang lain.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa memberi manfaat kepada diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah”.” (Surah al-A’raaf, 7: 188)
“...dan apabila aku sakit, Dialah (Allah) yang menyembuhkan aku,” (Surah asy-Syu’araa, 26: 80)
“Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, maka tidaklah dia memiliki cahaya sedikit pun.” (Surah an-Nuur, 24: 40)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri bersabda (maksudnya):
“Janganlah kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagaimana kaum Nasrani telah melakukannya terhadap Isa anak Mariam. Sesungguhnya tiadalah aku melainkan seorang hamba, maka katakanlah, “(Muhammad) Hamba dan Pesuruh Allah”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3445, daripada ‘Umar al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu)
Syaikh Muhammad Jamil Zainu berkata:
“Sesungguhnya yang menyembuhkan dan yang memberi kesihatan badan, hati, dan mata hanyalah Allah sahaja. Adapun Rasulullah tidak memiliki kekuasaan untuk memberi manfaat bagi dirinya dan tidak pula untuk selainnya. Bentuk selawat ini (selawat Syifa’ di atas) menyalahi firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya),
“Katakanlah (Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak pula kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah...” (Surah Yunus, 10: 49) (Rujuk: Fadhilat Selawat Kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, m/s. 113-114, Mubarak Mahfudh Bamuallim. Juga al-Firqatun Najiyah, m/s. 192-193, Syaikh Muhammad Jamil Zainu)
Selawat Nariyah:
اَللَّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً، وَسلِّمْ سَلاَمًا تَامَّا عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِيْ تَنْحَلُ بِهِ الْعُقَدُ، وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ، وَتُقْضَ بِهِ الْحَوَاِئجُ، وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ، وَحُسْنُ الْخَوَاتِيْمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ، وَعَلىَ أَلِهِ وَصَحْبِهِ عَدَدَ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah selawat dan keselamatan yang sempurna kepada penghulu kami, Muhammad, yang dengannya akan terlerai pertikaian hidup, hilang segala kesedihan, dipenuhi segala apa yang diperlukan, tercapai segala keinginan dan hasil yang baik (husnul Khatimah), tersiramilah hati yang gersang dengan perantaraan wajahnya yang mulia. Dan semoga dilimpahkan pula kepada keluarganya, para sahabatnya sebanyak ilmu-Mu.”
Jika kita benar-benar memahami akan hakikat kebenaran, telah jelas bahawa aiqdah tauhid yang disebutkan di dalam al-Qur’an dan apa yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam mewajibkan supaya setiap Muslim meyakini bahawa hanya Allah yang mampu menyelesaikan (meleraikan) pertikaian di dalam kehidupan, menghilangkan segala kesusahan, yang memenuhi segala bentuk keperluan, dan memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Nya.
Seseorang Muslim tidak dibenarkan berdoa kepada selain Allah. Walaupun kepada para Malaikat dan Nabi yang dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Allah berfirman (maksudnya),
“Katakanlah: “Panggillah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain Allah, sebenarnya pada hakikatnya mereka tidak memiliki sebarang kuasa untuk menghilangkan bahaya daripadamu dan tidak pula memindahkannya”. Sesungguhnya yang mereka seru itu, mereka sendiri sentiasa mencari jalan agar mereka menjadi yang paling dekat (kepada Allah), mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.” (Surah al-Isra’, 17: 56-57)
“Hanya kepada Allah kami menyembah, dan hanya kepada Allah kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah, 1: 5)
Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan berkenaan ayat ini,
“Yang dapat melakukan semua itu hanyalah Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Menciptakan dan meemrintahklan hanyalah hak Allah semata. Di mana berkenaan firman Allah (maksudnya): “Orang-orang musyrik dahulu sering menyatakan “Kami menyembah Malaikat, ‘Isa al-Masih, dan ‘Uzair”. Mereka itulah yang diseru sebagai tempat memohon sesuatu oleh orang-orang musyrik.” (Rujuk: Tafsir Ibnu Katsir di bawah perbahasan ayat 56-57 Surah al-Isra’)
Jika kita perhatikan rangkap selawat tersebut, dengan ia menunjukkan bentuk-bentuk permohonan doa kepada Nabi. Malah sifat-sifat yang tidak selayaknya, tetapi malah sebenarnya berlebih-lebihan (ghuluw) disandarkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam.
Penutup:
Dari dua bentuk selawat yang telah kita lihat di atas, kita dapat perhatikan bahawa sifat-sifat yang dinisbatkan atau disandarkan kepada Nabi dalam untaian (atau rangkap) selawat tersebut sangat berlebih-lebihan dan memerangkap seseorang jatuh ke dalam lembah kesyirikan. Sekiranya beliau Shallallahu ‘alaihi wa Salam mendengarnya, sudah pasti beliau tidak akan redha. Ini adalah berdasarkan beberapa dalil di bawah ini,
Firman Allah (maksudnya):
“(Dialah Allah) Yang telah menciptakan aku, lalu Dialah yang memberi aku petunjuk, dan Yang memberi makan dan minuman kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” (Surah asy-Syu’araa’, 26: 78-80)
Dari Abdullah Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Ada seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Apa yang Allah kehendaki dan engkau?” Lantas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:
“Adakah kamu menjadikan aku setara dengan Allah? (dalam riwayat yang lain, “tandingan bagi Allah?). Tidak, tetapi katakanlah: “Apa yang dikehendaki Allah sahaja”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Adabul Mufrad, no. 783)
Begitulah penjelasan daripada Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wa Salam sendiri.
Oleh itu, perlu kita fahami bahawa, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Tidak ada kaifiyah (cara) selawat yang lebih baik daripada kaifiyah yang diajarkan beilau Shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri. Jauhilah bentuk-bentuk beribadah yang direka cipta oleh manusia yang dengannya akan mengakibatkan pelbagai kesesatan dalam beragama.
“Ya Allah, selamatkanlah kami dari sikap ghuluw (berlebih-lebihan) dan dari sifat kemusyrikan yang besar atau pun yang kecil”